Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 November 1999 yang membincangkan Belanjawan 2000 telah memutuskan supaya Kementerian Pendidikan membuat kajian mengenai model dan konsep komuniti yang sesuai untuk diwujudkan di setiap kawasan Parlimen diseluruh negara. Asas pertimbangan penubuhan Kolej Komuniti ialah untuk menyediakan peluang alternatif kepada lepasan menengah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kolej Komuniti juga akan membuka peluang kepada pekerja dan komuniti setempat untuk mendapat pendidikan dan latihan kemahiran yang lebih terancang.

Jemaah Menteri pada 5hb Julai 2000 telah mempertimbangkan memorandum daripada Menteri Pendidikan No.398/2225/00 tentang konsep penubuhan dan perlaksanaan Kolej Komuniti di setiap kawasan parlimen. Penubuhan dan pelaksanaan Kolej Komuniti bertujuan memberi peluang pendidikan dan latihan khusus kepada masyarakat setempat untuk meningkat kemahiran dan pengetahuan serta taraf sosio ekonomi melalui program pendidikan sepanjang hayat yang fleksibel dan mudah akses.

Kolej Komuniti juga memainkan peranan dalam memenuhi kehendak sosial dan keperluan tenaga manusia selaras dengan dasar kerajaan untuk melahirkan lebih ramai golongan pekerja mahir demi merealisasikan matlamat wawasan 2020.

Kolej Komuniti Pasir Mas adalah sebuah Kolej Cawangan di bawah Kampus induk Kolej Komuniti Kuala Terengganu mula beroperasi di kampus sementara di Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas,Kelantan   pada  April 2008 dan pada Januari 2009 berpindah di bangunan rumah kedai Pasir Pekan, Kolej Komuniti Cawangan Pasir Mas telah membuat penawaran program sepenuh masa iaitu Sijil Pengoperasian Perniagaan di kampus Pasir Pekan.


KK Pasir Mas menawarkan Sijil Perakauan Perniagaan untuk pengambilan pertama. Pada April 2010, KK Pasir Mas telah berada di bawah kampus induk Kolej Komuniti Kok Lanas. Pada Januari 2011, KK Pasir Mas telah menawarkan Program baru iaitu Program Sepenuh Masa (SMK) . Selain Program Sepenuh Masa, KK Pasir Mas juga menjalankan kursus pendek bersesuaian dengan permintaan tempatan bagi memberi peluang kepada komuniti untuk menambah kemahiran dan pengetahuan mereka dalam pelbagai bidang seperti masakan, keagamaan, jahitan, pengkomputeran dan sebagainya.

Pada Oktober 2012 hingga kini , Kolej Komuniti Pasir Mas telah menjadi Pusat Tanggungjawab Sendiri (PTJ). Segala urusan semua diuruskan disini. KK Pasir Mas kini telah menyewa rumah kedai di PT 3302-3307, Taman Sri Kota, Pasir Pekan, 16250 Wakaf Bharu Kelantan.KK Pasir Mas mempunyai seramai 37 orang termasuk kakitangan MY STEP dan semua kakitangan terdiri daripada pelbagai kelulusan dan diketuai oleh En.Fathuddin Aizat bin Che Mohd Ariff selaku Pengarah. Program yang ditawarkan ialah Sijil Pengoperasian Perniagaan. Pada tahun 2018, KK Pasir Mas telah mempunyai kolej cawangan iaitu Kolej Komuniti Cawangan Rantau Panjang yang berada di Rantau Panjang dengan menawarkan Sijil Perkhidmatan Logistik.